Sunday, December 7, 2014

Surat dari Cik Muchlisah kepada Pn Muchlisah


Taman Cheras Indah,
Kuala Lumpur,
MALAYSIA.

13 SEPTEMBER 2014

Kehadapan Puan Muchlisah.

Assalamualaikum, semoga puan tetap sihat dan sentiasa hidup dirahmati oleh Allah SWT. Ingatlah puan, perkahwinan itu bukan suatu perkara mudah. Perkahwinan itu walaupun mungkin bukan terjadi kerana anda suka dia atau adanya perasaan suka sama suka. Bak kata Ustazah Fatimah Syarha, "kita bercinta 20 tahun pun takkan kenal dengan seseorang, melainkan LAKONAN dia". Siapa kata bercinta perlu sebelum nikah? Islam sendiri tak pernah mengajar Islamnya mengamalkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita sebelum adanya pernikahan. Betapa Islam itu indah.

Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Mungkin kita fikir seseorang itu jodoh kita apabila adanya perasaan "Saya suka dia. Rindu awak 200%" Haha. Tetapi, sentiasalah berdoa pada Allah, seandainya benar dia jodoh kita permudahkanlah urusan jangan dipersulitkan. Sekiranya ada orang lain jodoh kita, maka permudahkanlah urusan untuk menjadi HALAL itu.

Puan, perkahwinan itu melibatkan bukan soal hati sahaja tetapi melibatkan dua keluarga. Ingatlah puan untuk menjaga hubungan baik dengan mertua. Ya, kerana mertua itu ibarat ibu bapa kita sendiri sahaja. Apatah lagi sebagai seorang perempuan, tempatnya adalah di sisi suami setelah berkahwin. Patuhilah arahan suami selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum agama.

Selain itu, diharapkan puan dapat bertolak ansur serta terdapat konsep give-and-take antara suami isteri. Jangan masing-masing nak ikut perasaan, tidak boleh berkompromi. Ingatlah wanita itu memang emosinya cepat terganggu, malah oleh sebab itu hak untuk mengatakan "saya ceraikan awak" bukan terletak pada seorang wanita. Syaitan suka kita semua ini bercerai berai. Yang dah "bina masjid", akhirnya bercerai dek hasutan si syaitan. 

Orang kata, nak ikat suami kena ikat perut dia. Jadi kalau sudah berkahwin, kenalah banyak mencuba resipi baru atau pelbagaikan makanan. Jangan ikut apa kita suka di perut sahaja, kenalah tau juga apa yang suami suka makan. Kalau kita ikhlas memasak, insyaAllah makanan yang terhasil juga sedap.

Papa selalu kata "orang sabar disayang Allah". Malahan ungkapan itu juga yang sering Puan ungkapkan pada anak buah. Mungkin pulang setiap bulan ke kampung halaman tu MUSTAHIL. Tetapi yakinlah andainya ada rezeki, mungkin boleh puan pulang nanti. Apatah lagi dengan adanya sambutan hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Puan yang dikasihi, kita dituntut untuk tidak sesekali meninggikan suara pada ibu bapa. Ini jugalah yang perlu dipraktikkan apabila berkahwin. Sabar. Kawal perasaan memberontak yang mungkin akan hadir. Tetapi kalau suami dah menyakitkan hati dan mula angkat tangan itu lain cerita.  Kalau kita sayang ibu bapa kita, kita kena juga sayang ibu bapa suami. Sentiasa muhasabah diri. Mungkin juga perbincangan 5 minit itu perlu setiap hari (bak kata dalam cerita Aku Ada Wali). Apa yang terlintas di hati jangan dipendamkan seorang diri. 

"Career woman versus housewife". Ya, mungkin orang akan cakap "Eh, ada Master sayanglah kalau tak guna. Takkan duduk jadi suri rumah je. Terus terang ketika kata-kata ini ditaip, saya masih lagi dalam proses untuk mengikhlaskan hati. Siapa kata senang nak melupakan impian, cita-cita yang mungkin sudah ditanam dari awal. Mungkin Puan pernah ada perasaan untuk menyumbang semula kepada institusi pengajian Puan yang telah pun berbakti kepada puan. Menjadi seorang pensyarah mahupun pegawai kerajaan atau swasta. Akan tetapi, yakinlah Puan seandainya ada rezeki mungkin ilmu yang Puan ada boleh digunakan pada masa yang akan datang. Siapa kata surirumah tak boleh ada Master? Siapa kata surirumah tak boleh ada PhD? Yakinlah, insyaAllah...suatu hari nanti...siapa tahu panggilan yang mama berikan pada waktu kecil dulu akan menjadi kenyataan? "Profesor serba tahu". Lagipun, sekarang dah zaman bekerja dari rumah. Jadi surirumah dan menjalankan perniagaan Online dari rumah.

Rasanya setakat ini sahaja warkah saya buat Puan. "Ingatlah Allah pada ketika senangmu, nescaya Allah akan ingat kamu pada waktu susahmu". Jangan tinggal solat ya. Selalu lakukan solat Dhuha, solat tahajjud, puasa hari putih, dan begitu juga puasa isnin dan khamis. InsyaAllah kita cari redha Allah, maka Allah akan berkati hidup kita. Sekian, terima kasih.


Yang benar,
Cik Muchlisah.

2 budak comel:

thumbs up lisa.. aku suka... menyedarkan aku sendiri juge.... =)

Hehe.apa yg ditulis sbg ingatan buat diri sendiri kte gak :) tq yang

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails